Kekuatan Pembelajaran atas Talian untuk Pendidikan Masa Hadapan

Lanskap pendidikan pada hari ini tidak lagi sama seperti sebelumnya. Ia telah mengalami perubahan yang mendadak sejak setahun yang lalu kerana kehadiran wabak pandemic COVID-19 yang melanda di setiap pelusuk dunia. Setiap negara di dunia ini sedang berjuang untuk terus bertahan dalam setiap aspek seperti ekonomi, kesihatan, sosial dan pendidikan pada masa yang paling sukar/mencabar dalam sejarah dunia moden hari ini.

Pendidikan adalah satu komitmen sepanjang hayat yang tidak akan terhenti walau apa jua rintangan yang datang, termasuklah wabak ini. Menurut UNESCO Monitoring Report, sekitar 1.7 bilion pelajar di seluruh dunia telah terjejas dengan penutupan sekolah dan institusi pengajian tinggi pada tahun lalu yang berlaku akibat daripada wabak ini. Kejadian ini belum pernah terjadi dan jelas telah menjejaskan sistem pendidikan dunia di setiap peringkat yang ada. Disebabkan oleh keadaan ini, mereka yang mempunyai akses internet yang baik, kini telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap pembelajaran secara atas talian.

 

Potensi pasaran bagi pembelajaran atas talian telah diramalkan akan meningkat dalam beberapa tahun akan datang, sebelum pandemik melanda dunia. Dalam keadaan sekarang yang memaksa sebahagian besar sistem pendidikan untuk dijalankan secara atas talian, pasaran bagi sistem ini semestinya akan dapat melangkaui jangkaan dengan keuntungan yang amat besar bakal diperolehi. Terdapat banyak perantara pembelajaran atas talian di pasaran pada ketika ini seperti Udemy dan Coursera. Universiti-universiti terkemuka dunia juga telah melibatkan diri dalam pasaran pembelajaran atas talian ini seperti Universiti Stanford dan Universiti Harvard dengan menyediakan beberapa kursus yang boleh diperolehi secara atas talian.

Apakah yang membuatkan orang ramai berminat untuk menggunakan program pembelajaran atas talian ini bagi mendapatkan kemahiran, pengetahuan dan juga ijazah tambahan? Salah satu sebab adalah bagi memastikan diri selari dengan perkembangan teknologi yang sangat cepat dan perubahan dunia yang amat pesat. Perkara ini telah menyebabkan pelbagai bentuk kemahiran yang berbeza diperlukan dalam diri seseorang itu bagi memastikan mereka kekal relevan dalam kehidupan sekarang dan masa akan datang. Kemahiran yang kita miliki sekarang mungkin tidak lagi penting dalam 2-3 tahun ke hadapan. Senario ini telah membuatkan masyarakat menjadi keliru tentang kemahiran dan pengetahuan mana yang penting untuk mereka kuasai. Oleh itu, program pembelajaran atas talian adalah pilihan yang terbaik bagi mereka untuk mengasah kemahiran yang sedia ada atau mempelajari sesuatu yang baru dengan cara yang fleksibel bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan dunia yang pesat ini. Mereka kini boleh memiliki sijil yang dikeluarkan secara sah oleh institusi yang menawarkan program atas talian di seluruh dunia.

Malaysia juga telah memulakan langkah yang sama untuk menghasilkan sijil melalui program pembelajaran atas talian dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjadi peneraju utama bagi sistem ini. USM telah mengembangkan program micro-credential yang pertama seumpamanya di Malaysia. Program ini membolehkan mana-mana individu memperolehi sijil digital dalam bidang yang dikehendaki dan ianya ditawarkan oleh pihak USM.

Sijil ini akan menunjukkan bahawa pemegangnya mempunyai kelayakan dalam kemahiran dan ilmu yang tertentu, sesuai dengan keperluan, keutamaan, kerjaya dan kehidupan mereka sendiri. Program ini mempunyai modul dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh pelajar sebelum mereka dapat memperoleh sijil tersebut. Program ini membolehkan sesiapa sahaja untuk mendapat pengiktirafan dengan mengambil modul pembelajaran pada waktu yang fleksibel dan bersesuian dengan mereka, tanpa perlu risau akan pembayaran yuran pengajian yang mahal, menghadiri kuliah konvensional, menyusun semula jadual kerja dan belajar serta isu-isu lain yang berkaitan. Menyedari bahawa sistem ini mempunyai potensi amat tinggi untuk menjadi pendidikan fleksibel masa hadapan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kini memperkenalkan para pensyarah ke program unik ini melalui bengkel dan siri ceramah yang disampaikan oleh para pakar mikro-credential di Malaysia. Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Akademik (PKPA) telah menyahut cabaran dengan mengadakan bengkel sebagai persiapan awal untuk program ini yang akan dijalankan di UMK dalam masa terdekat.

Belajar secara atas talian dengan hanya duduk dengan selesa di kerusi sendiri di rumah, menonton video kuliah, mengambil ujian dan penilaian lain serta melakukan pembacaan lanjut adalah cara pendidikan yang diidamkan oleh ramai orang. Begitulah seharusnya cara pembelajaran masa depan perlu dijalankan.

Nukilan oleh,

NURUL AKMAR CHE ZAUDIN